Netflix baru-baru ini mengeluarkan dokumentari mengenai kes misteri kehilangan seorang gadis berusia 21 tahun di sebuah hotel bajet di Los Angeles.
Kes yang membabitkan Elisa Lam pada Februari 2012 itu pernah viral di media sosial dan menimbulkan banyak persoalan netizen setelah pihak polis memuat naik video kali terakhir Elisa dilihat dalam hotel tersebut, berikutan kelakuannya yang sangat aneh.
Elisa yang berasa dari Vancouver, Kanada, mengembara ke Los Angeles pada Februari 2012 dan menginap di sebuah hotel bernama Stay on Main, yang juga milik Hotel Cecil.
Bagaimanapun, Elisa dilaporkan hilang pada hari terakhirnya di hotel itu dan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif menunjukkan gadis itu berkelakuan aneh, kelihatan risau atau keliru serta menekan semua butang lif.
Setelah 19 hari kemudian, mayat Elisa ditemui dalam tangki air di bahagian bumbung hotel. Menurut keputusan siasatan polis mendapati, Elisa dipercayai lemas, selain mengalami penyakit bipolar dan tidak mengambil ubat seperti yang telah ditetapkan oleh doktor yang menjadi punca mendorong kepada kematiannya.
Pengarah dokumentari Crime Scene: The Vanishing at the Cecil Hotel, Joe Berlinger berkata, masih ramai penyiasat tidak bertauliah di media sosial menganggap kes Elisa belum selesai, membuatkan dia berminat untuk menerbitkan dokumentari kes itu bagi mengetahui cerita yang sebenarnya.
"Kami ingin membongkar kebenaran dan tidak mahu tragedi yang menimpa Elisa Lam itu berkaitan dengan syaitan atau kisah hotel berhantu atau sesuatu kejadian ghaib yang menimpanya. Bagi saya, itu sangat tidak menghormati mangsa dengan tidak menghormati kebenaran.
"Dalam siri dokumentari ini bukan hanya menceritakan tentang kisah Elisa Lam, tetapi juga mengenai tempat dan bagaimana kejadian jenayah yang boleh berlaku di kawasan ini.
"Selain itu, isu berkaitan masalah kesihatan mental di mana Los Angeles tidak begitu cekap menanganinya. Hotel Cecil terletak di kawasan yang dikenali sebagai Skid Row, kawasan yang penuh dengan kehadiran gelandangan yang tidak terkawal.
"Dengan memfokus pada isu tersebut dan isu buli siber seperti yang berlaku pada Pablo Vergara (Morbid), adalah cara kita memberi penghormatan kepada mangsa. Ia memberikan konteks yang lebih besar untuk menceritakan keisahnya daripada mengaitkannya dengan hotel berhantu.
"Pablo yang tiada kaitan dengan kes ini dibuli oleh netizen sehingga dia hampir membunuh diri. Saya memuji usaha netizen prihatin dengan kebajikan orang lain dan mengambil masa untuk melakukan siasatan sendiri, tetapi adakalanya mereka terbawa-bawa sehingga tidak dapat membezakan apa yang betul atau tidak berdasarkan fakta," katanya.
Sumber: Entertainment Weekly
from The Reporter https://ift.tt/3jLv8C1
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment