Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menggesa penduduk di Cameron Highlands mengundi calon Pakatan Harapan (PH) bagi memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini agar semua perancangan pembangunan di kawasan itu dapat dijalankan.
Beliau berkata, semenjak BN menang di Cameron Highlands pada 9 Mei lalu, tiada perubahan yang berlaku.
"Kita harap pengundi buat pilihan tepat, pilih calon kami yang sudah pasti boleh bekerjasama dengan baik dengan Kerajaan Pusat bagi memastikan kebajikan semua kaum yang menetap di sini terjamin.
"Sejak mereka (BN) menang di sini pada 9 Mei lalu, bukan ada perubahan yang berlaku. Semuanya masih sama macam sebelumnya.
"Tapi kalau kami menang kali ini, sudah pasti banyak benda yang kita boleh buat dengan menyediakan pelbagai nilai tambah untuk pengundi di sini," katanya.
Apabila ditanya mengenai peluang kemenangan, Guan Eng berkata, persaingan sengit itu tetap ada tetapi beliau yakin peluang untuk menang itu juga ada.
"Peluang ada walaupun agak sukar. Jadi, kita minta pengundi buat keputusan dengan bijaksana ketika mengundi nanti," katanya.
Menteri Kewangan itu berkata, Cameron Highlands masih ketinggalan daripada segi kemajuan di bawah pemerintahan kerajaan negeri iaitu kerajaan BN.
"Kenapa perlu ubah sekarang? Supaya kali ini kita dapat lihat pembangunan yang ketara. Di bawah kerajaan dulu, tidak dapat lihat apa yang diharapkan.
"Sekarang, inilah peluang untuk dapatkan sesuatu yang diharapkan di mana kerajaan persekutuan dan negeri sama-sama membangunkan Cameron Highlands," katanya.
"Jika PH gagal membawa perubahan yang dijanjikan, pengundi Cameron Highlands berhak menukar semula undi mereka pada PRU15 nanti.
"Tetapi sekiranya PH menang, sekurang-kurangnya ada suntikan nafas baharu. Itulah yang kita harapkan, supaya rakyat boleh beri peluang kepada Kerajaan Persekutuan PH," katanya.
Sumber: Harian Metro, Astro Awani
from The Reporter http://bit.ly/2HiXhR6
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment