11 Mei 2018 merupakan tarikh ulang tahun penubuhan parti politik UMNO yang 'sepatutnya' disambut dengan meriah. Malangnya, hasrat UMNO yang mengetuai Barisan Nasional (BN) mahu memenangi mandat rakyat di Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu gagal, sekali gus menyebabkan banyak negeri yang ditawan sebelum ini jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin meluahkan rasa hibanya bila mana hari ulang tahun ke-72 UMNO disambut dalam keadaan parti itu hilang kuasa memerintah di Putrajaya.
Khairy berkata, dia tidak pernah membayangkan situasi ini, namun dia akur pada keputusan PRU14 dan suara rakyat yang memilih pakatan alternatif itu untuk mentadbir kerajaan persekutuan.
"Dengan rasa penuh hiba dan tawaduk, saya ingin mengucapkan selamat menyambut ulang tahun yang ke-72 kepada seluruh ahli Umno.
"Sudah pasti ini bukanlah keadaan yang saya bayangkan bagi menyambut ulang tahun parti keramat kita," katanya hari ini.
Dalam laporan mStar Online, barisan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO akan menghadiri majlis doa selamat dan bacaan Yassin di PWTC pada malam ini.
Redha dengan apa yang berlaku pada UMNO, Khairy mengajak ahli-ahli parti bangkit meneruskan perjuangan dan mengubah persepsi negatif rakyat terhadap UMNO.
"Di mana Umno tidak dilihat sebagai parti yang terpisah dari rakyat, parti untuk golongan atas sahaja, parti yang tidak kisah soal integriti, parti yang dianggap bongkak dan sombong.
"Saya mahu Umno kembali menjadi parti untuk orang ramai. Parti yang jaga maruah orang Melayu, yang menjaga kemakmuran bersama kaum-kaum yang lain, parti yang tidak rasis – parti yang benar-benar berjuang untuk semua lapisan masyarakat.
"Yang kita perlukan hari ini ialah kejujuran yang mendalam, keberanian yang luar biasa dan pengorbanan yang pedih," katanya.
from The Reporter https://ift.tt/2G3leWR
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment