Susulan viral luahan seorang bapa yang mendakwa anaknya dikasari anggota beruniform sehingga mengalami pendarahan dalaman, netizen mempersoalkan kesahihan dakwaan itu kerana apa yang cuba disampaikan itu tidak jelas sehingga mereka menuntut salinan laporan polis bagi mengesahkan dakwaan itu.
Mangsa, Mohamad Muslihin Mazelan, 23, tampil memuat naik laporan polis yang dibuatnya semalam sebagai bukti kejadian itu sememangnya benar berlaku dan turut menyebabkan dia mengalami kecederaan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
Berikut laporan polis yang telah dibuat oleh Mohamad Muslihin:
"Pada 16 November 2017, jam lebih kurang 1.45 pagi, semasa saya sedang memandu kereta bersama dua rakan lelaki di kawasan perindustrian Tebrau 4 dan telah keluar simpang ke kiri dan mahu ke kanan jalan, tiba-tiba ternampak dua buah motosikal berada di tepi kereta saya.
"Selepas itu saya menoleh ke hadapan semula dan tiba-tiba ada sebuah motosikal menghalang perjalanan saya. Saya tidak sempat berhenti lalu terlanggar motosikal tersebut tanpa sengaja. Tetapi penunggang motosikal tersebut dapat pertahankan motosikalnya dari terjatuh.
"Saya perasan tiga orang yang berpakaian uniform polis. Kemudian salah seorang dari mereka bernama Q terus membuka pintu dan saya mahu keluar untuk meminta maaf tetapi terus dipukul di bahagian perut.
"Dua orang anggota lagi memegang saya dan Q terus menumbuk saya di bahagian perut dan menolak saya sehingga jatuh, seterusnya memijak saya di bahagian rusuk.
"Selepas itu dia menarik saya ke tepi jalan sehingga menyebabkan luka di tangan dan meminta saya untuk bangun semula. Bila saya pegang perut kerana sakit, dia meminta saya mengalihkan tangan kemudian sekali lagi perut saya ditumbuk.
"Mereka kemudian membuat pemeriksaan pada kereta dan pemeriksaan identiti ke atas rakan-rakan saya. Beberapa minit kemudian datang tiga lagi anggota berpakaian biasa bertanya apa yang berlaku.
"Saya kemudian diminta ke Balai Polis Bandar Dato Onn. Saya dibawa ke satu bilik untuk disoal siasat. Mereka meminta saya membayar ganti rugi ke atas kerosakan motosikal anggota terbabit dan meminta saya berjumpa dengannya hari ini (semalam) jam 5 petang di Balai Polis Bandar Dato Onn sebelum saya dibebaskan." tulisnya dalam laporan tersebut.
Bagaimanapun netizen dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan komen-komen yang tidak sepatutnya sehingga pihak berkaitan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian ini.
from The Reporter http://ift.tt/2ioR0o0
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment