Gara-gara membuat suntikan kolagen bagi meruncingkan dagu, Sarina Shafie, 38, dan Baharun Baharun Baharudin atau lebih dikenali sebagai Embun, 37, pernah disindir wajah mereka kelihatan seperti Firaun, hantu dagu, dagu panjang, dagu terpisah muka dan nenek sihir, lapor Harian Metro.
Tidak tahan dengan ejekan itu, Sarina dan Embun akhirnya mengambil keputusan untuk membuang kolagen bagi mengembalikan dagu mereka kepada bentuk asal.
Menurut Sarina, dia mengambil suntikan kolagen ketika berumur 25 tahun kerana mahu kelihatan cantik dan memiliki wajah seperti selebriti.
"Lagipun saya tidak mahu ketinggalan dengan trend suntikan yang popular pada masa itu," katanya.
Malangnya, masalah mula timbul apabila Sarina berusia 35 tahun di mana ramai yang menegur mengapa dagunya kelihatan pelik.
"Ramai yang tegur kenapa dagu panjang, kenapa dagu pelik, kenapa dagu terpisah dari muka, kenapa muka dulu cantik, kenapa muka jadi macam ini dan jutaan lagi persoalan yang membuatkan saya mula risau kerana saya sendiri tidak perasan dengan perubahan wajah saya.
"Menjadikan saya lebih tertekan selaku pemilik produk kosmetik, saya selalu mengajar make up secara siaran langsung di media sosial, namun terganggu apabila ada komen yang menghina dan mengutuk saya secara terbuka.
"Malu dan sedih sangat dan lebih membimbangkan dagu berubah menjadi panjang dan sakit di sesetengah bahagian.
"Akhirnya saya memberanikan diri untuk pergi ke klinik dan doktor menyarankan saya membuang kolagen itu kerana terdapat banyak implikasi antara fibrosis dan kanser," katanya yang merupakan pemilik produk Syok Cosmetics itu.
Menurut Sarina, kos suntikan untuk membuat dagunya hanya RM300 sahaja. Tetapi membuangnya menelan kos hampir 40 kali ganda iaitu RM12,000 termasuk ubat dan rawatan susulan.
"Azabnya jangan cakaplah. Hanya Tuhan saja yang tahu. Rasa nak mati pun ada," katanya,
Sarina menjalani pembedahan membuang kolagen itu beberapa bulan yang lalu, berlangsung selama empat jam. Sarina juga menerima lebih kurang 20 suntikan ubat tahan sakit yang dicucuk di sekitar mulut dan dagu.
Doktor juga menebuk satu lubang di bawa dagu untuk dimasukkan besi dan dibiarkan panas selama 20 minit bagi mencairkan kolagen sebelum disedut keluar.
"Memang ngeri bila diingatkan kembali saat pembedahan dilakuakan. Selepas itu, muka saya bengkak teruk dan tidak boleh makan selama hampir dua minggu dan sembuh enam bulan kemudian," katanya.
Serik dengan pengalaman yang dilaluinya, Sarina menyarankan kepada mana-mana wanita yang ingin melakukan suntikan wajah mendapatkan nasihat daripada doktor dan pakar kecantikan yang bertauliah jika memang terpaksa melakukannya.
Sementara itu, Embun juga membuang kolagen yang disuntik di bahagian dagunya pada Mei lalu kerana ia kelihatan semakin pelik.
"Saya membuat dagu itu kerana dulu badan saya berisi dan muka saya seperti tidak mempunyai dagu. Bagaimanapun selepas mengamalkan diet sehingga berjaya menurunkan berat badan, saya mendapati dagu saya semakin panjang.
"Reaksi orang ramai melihat saya, sentiasa dengan pandangan aneh. Kenapau dagu kau panjang dan senget serta pelbagai gelaran menghina yang saya terima, cukup memalukan," katanya.
Embun terpaksa membuat dua kali pembedahan di negara jiran namun hasilnya tetap sama sehinggalah dia bertemu dengan pakar tempatan yang berjaya membuang bahan berkenaan.
"Saya gelarkan kolagen ini sebagai saka kerana dua kali bedah pun masih tak nak keluar sepenuh. Hampir RM10,000 duit saya melayang," katanya yang turut berharap pengalaman buruknya itu dijadikan iktibar kepada mereka di luar sana.
from The Reporter http://ift.tt/2j6ANnd
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment