Foto Hiasan Sahaja | David Ho |
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyangkal dakwaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Mohd Shafiq Abdullah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi Rabu, 3 Ogos 2022.
JPA mendakwa, sebaliknya KPPA hanya menegur pegawai berkenaan, James Lee, atas sebab berlaku pelanggaran prosedur pemeriksaan.
"JPA memandang serius perkara ini dan ingin menegaskan bahawa segala pertuduhan kepada KPPA adalah tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej beliau sebagai pegawai tinggi kerajaan.
"Untuk makluman, KPPA telah menegur pihak Imigresen di KLIA khususnya Encik James Lee akan ketidakpatuhan amalan dan prosedur di mana pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara. Malahan, mereka diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan.
"JPA berpandangan bahawa, ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan yang serius di sisi undang-undang. Malah, pegawai yang tidak mematuhi peraturan imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib," jelas JPA.
JPA juga menafikan KPPA membuat teguran itu dikhalayak ramai, sebaliknya teguran dibuat secara berhemah. Malah KPPA juga menasihat agar pegawai mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu sedemikian dengan berhemah.
KPPA turut mengesyorkan agar pihak Imigresen di KLIA meningkatkan lagi pematuhan proseudr operasi piawai (SOP) bagi mengelak sebarang ketidakpatuhan Imigresen.
Terdahulu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mendakwa Pegawai Imigresen di KLIA, James Lee, telah ditengking, dihembur dengan kata-kata kesat serta mengaibkannya di hadapan khalayak ramai kerana tidak berpuas hati tiada pegawai Imigresen di Kaunter Bilik VIP.
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin juga telah mengarahkan siasatan dalaman dilakukan dan meneliti video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sekiranya benar berlaku kejadian seperti yang didakwa, pegawai tinggi kerajaan berkenaan tidak dapat 'melarikan diri' dari dakwaan itu.
Sumber: MalaysiaKini
from The Reporter https://ift.tt/MFJHmdz
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment