Seorang wanita warga emas berusia lingkungan 80 tahun dihalau keluar dari rumah oleh anak lelakinya sendiri dengan alasan yang tidak masuk akal. Keadaan itu menyebabkan dia terpaksa mencari tempat untuk berteduh di sebuah pondok bas, lapor Sinchew.
Apa yang lebih menyedihkan, sudah hampir setahun warga emas berkenaan tinggal di pondok bas itu. Mujur ada orang awam yang memaklumkan perkara ini kepada aktivis kemasyarakatan yang juga pengasas Community Policing Malaysia, Kuan Chee Heng.
Sebaik mendapat maklumat mengenai perkara itu, Kuan segera keluar mencari wanita berkenaan di pondok bas berdepan dengan sebuah pusat beli-belah di Serang, Selangor untuk melawat dan mendapatkan cerita mengenai hal sebenar.
Menurut Kuan, wanita itu sebenarnya mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan. Sebelum menjadikan pondok bas sebagai tempat tinggalnya, dia tinggal bersama salah seorang anak lelakinya yang merupakan tukang kasut berusia 50-an.
Setahun lalu, lelaki itu memberitahu ibunya bahawa sudah tiada ruang lagi di kediamannya dan meminta ibunya keluar dari rumah itu.
"Warga emas itu kemaskan barang-barang dia dan datang ke pondok bas itu untuk berlindung," kata Kuan.
Walaupun begitu, anak lelakinya masih datang melawat dan adakalanya membawa makanan untuknya. Malangnya, dia enggan membawa ibunya pulang ke rumah dan tidak peduli ibunya tidur di tempat sebegitu. Biarpun usianyanya sudah tua, namun wanita itu masih sihat.
Kuan berjaya menghubungi anaknya melalui panggilan telefon dan lelak iitu tidak menunjukkan sebarang penyesalan. Malah dia pula tidak berpuas hati dengan netizen yang mencampuri urusan keluarganya.
Kesal dengan respon anak lelakinya itu, Kuan kemudian menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa pegawainya tampil untuk membantu.
Dengan bantuan anggota polis, warga emas itu dihantar ke rumah anak lelakinya selama satu dan malam sebelum dipindahkan ke pusat jagaan di Ulu Yam pada keesokan hari.
Berita itu menjadi tular di media sosial dan ramai netizen mengkritik tindakan si anak yang tidak bertanggungjawab dan bersyukur. Ada juga yang bertanya tentang di mana keberadaan dua lagi anaknya yang juga punyai tanggungjawab untuk menjaga ibu mereka.
from The Reporter https://ift.tt/2NHc5HC
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment