Seorang peniaga dalam talian didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi berunsur lucah dalam laman media sosial, dua tahun lepas.
Hakim Noorhisham Mohd Jaafar turut memerintahkan tertuduh, Mohamad Faezi Abd Latif, 25, menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan dan mengarahkan agar barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk proses pelupusan.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Faezi didakwa menggunakan aplikasi melalui akaun Twitter ‘plughijau002’ membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang sifatnya lucah dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Menara MCMC, Cyberjaya dekat sini antara pukul 1.07 pagi hingga 10.03 malam, antara 7 Ogos 2018 dengan 30 Sept 2018.
Mohamad Faezi didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588] yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Peguam Farasyeriza Md Zabani daripada Jabatan Bantuan Guaman yang mewakili Mohamad Faezi memohon mahkamah mengenakan denda paling minimum atau RM1,200 bagi setiap kesalahan yang disabitkan ke atas anak guamnya.
“Tertuduh yang masih bujang tinggal di rumah sewa bersama ibu dan perlu menangung ibunya yang berpenyakit darah tinggi. Perbuatan tertuduh itu untuk melariskan barang jualan dalam talian iaitu minyak belacak...dia tidak sedar akan akibat perbuatannya di sisi undang-undang pada masa itu,” katanya.
Pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Norhani Mohd Adzhar, bagaimanapun memohon kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan hukuman denda RM15,000 bagi semua kesalahan.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/2TtWIGW
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment