Home » , » Gajah ditembak mati, 70 butir peluru ditemui dalam badannya

Gajah ditembak mati, 70 butir peluru ditemui dalam badannya

shamsulazlan | 00:44 | 0 comments

Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menyifatkan kematian gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, Tawau, Khamis lepas, sebagai satu pembunuhan kejam dan hasil bedah siasat mendapati lebih kurang 70 peluru ditemukan dalam badan haiwan itu.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, banyak peluru ditemukan dalam badan gajah betina itu sekali gus memberi bayangan keadaan gajah tersebut bertarung menahan kesakitan akibat terkena tembakan senjata api.

"Banyak peluru ada di badan gajah itu dan kita boleh bayangkan keadaan gajah waktu kena tembak... dalam keadaan kesakitan tetapi mungkin tidak mati dan mungkin sebab itu banyak tembakan dibuat (pemburu haram)," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Augustine tidak mahu mengulas lanjut perkara tersebut kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian gajah sekali gus mengumpul bukti kukuh untuk membolehkan pihak tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan itu dihadapkan ke mahkamah.


"Kami berharap akan dapat menangkap orang yang membunuh gajah itu dan menyerahkannya kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman tegas," katanya, dan menambah siasatan tersebut tidak mempunyai tempoh masa, namun, ia perlu dibuat dalam masa satu bulan mengikut prosedur operasi standard jabatan.

Augustine berkata, jabatannya akan terus berusaha mendekati dan bekerjasama dengan masyarakat setempat bagi memastikan perkara sama tidak berulang selain meminta mereka membantu mencegah aktiviti pemburuan haram serta menjadi saksi sekiranya mengetahui atau melihat ada pihak melakukan aktiviti itu.

Pada Khamis lepas, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas di Kalabakan, dekat Tawau, dan dipercayai mati antara tiga hingga empat hari.

Gajah betina dianggarkan berusia antara 11 hingga 12 tahun dengan ketinggian 1.8 meter itu ditemui dalam keadaan terduduk berhampiran tebing sungai dan pemeriksaan awal pasukan JHL mengesan luka di bahagian pipi, kepala, badan dan punggung gajah berkenaan, akibat tembakan senjata api.

Sumber: Bernama


from The Reporter https://ift.tt/2nMgLEr
via IFTTT
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger