Home » , » Produk Krim Progesterone boleh mengakibatkan kanser dan masalah kesihatan

Produk Krim Progesterone boleh mengakibatkan kanser dan masalah kesihatan

shamsulazlan | 19:55 | 0 comments

PUTRAJAYA - Viral di media sosial sebuah produk didakwa boleh membantu wanita yang sudah berumahtangga mempunyai masalah kesuburan hamil dengan mudah, hanya dengan mencalit krim tersebut ke badan.

Namun begitu, ramai netizen yang berasa curiga dengan dakwaan penjual krim tersebut yang mengatakan bahawa, ada pengamal perubatan yang menyarankan golongan wanita (isteri) menggunakan krim tersebut.

Laman Facebook PW Community semalam menasihatkan orang ramai tidak menggunakan produk tersebut kerana ia tidak berdaftar, sumber asal hormon tidak dinyatakan, kombinasi dalam produk tidak dinilai tahap kebersihannya, selain penggunaan hormon tanpa pemantauan dari pihak yang bertauliah, boleh mendatangkan banyak kesan jangka masa panjang. 

"Risiko pengguna sejenis sahaja hormon daripada sumber luar (exogenous) boleh menyebabkan risiko kanser meningkat tanpa kombinasi lain (antagonist)," katanya. 

Pada 19 Januari lalu, laman Root of Science juga mengeluarkan kenyataan mengenai bahayanya produk krim hormon (krim progesterone) yang kebanyakannya atas beberapa sebab seperti:
  1. Banyak produk krim itu sendiri tidak telus dalam paras hormone yang dimasukkan dalam produk, terutamanya produk-produk yang tidak berdaftar dan asal usulnya tidak dapat dikenalpasti. 
  2. Hormone progesterone yang terdapat dalam krim ini biasanya sumber dari tumbuh-tumbuhan seperti soya, keladi dan pelbagai lagi. Maka dos yang dibekalkan tidak diselaraskan di mana ianya boleh menyebabkan toxicity (kemudaratan). 
  3. Hormone sumber daripada tumbuh-tumbuhan ini pula meresap ke dalam lapisan lemak (adipose) dalam badan untuk jangka masa yang lama dan boleh mengambil sehingga setahun selepas penggunaan terakhir untuk benar-benar parasnya kembali normal. Berbanding dengan hormone yang dihasilkan dalam badan yang mampu diproses dan tidak aktif hanya dalam masa lima minit. 
  4. Seperti yang dinyatakan di atas, proses normal fungsi badan bergantung kepada hormone ini. Dengan paras yang tertentu. Apabila anda menambah paras tersebut daripada luar dengan penggunaan krim tersebut, ianya akan membuatkan proses-proses dalam badan menjadi serabut dan kacau-bilau. 
  5. Hormone Progesterone ini yang parasnya tinggi daripada biasa juga akan mengakibatkan/mengacau pelbagai proses. Contohnya anda akan mengalami darah tinggi kerana hormone ini akan bind dengan corticomineral receptor yang membuatkan lebih banyak air (blood volume) tersimpan dalam badan (fluid retention). 
  6. Ianya juga turut mampu menyebabkan anda menghidap penyakit kencing manis (diabetes) kerana ia mampu mempengaruhi penghasilan dan penggunaan insulin oleh tubuh badan anda. 
  7. Selain itu ianya mampu memnyebabkan kaki anda bengkak, muka sembam dan paru-paru dipenuhi air kerana tidak dapat menyingkirkan air berlebihan dalam badan dengan baik. Jika berlarutan, ia akan merosakkan jantung dan buah pinggang. 
  8. Paras tinggi yang berpanjangan juga mampu menyebabkan darah menjadi lebih pekat dan sekaligus meningkatkan risiko mengalami tersumbat saluran darah dan strok. 
  9. Paras yang tinggi relatif (berbanding) paras hormone lain seperti estrogen mampu meningkatkan risiko anda untuk mengalami barah payudara dan barah lapisan rahim. 
  10. Terdapat juga kesan-kesan mental bila paras tinggi seperti cepat marah, cepat melenting dan bertindak kasar. Senang cerita, hormone yang tinggi tanpa dikawal oleh badan sendiri akan menyebabkan banyak masalah dan terlalu banyak untuk disenaraikan. 

Menurut Root of Science lagi, pengguna produk-produk ini walaupun dalam bentuk krim (topical, transdermal/pada kulit) turut boleh meresap dalam tangan. Selepas itu dipegang dan dipeluk pula anak. Ianya mampu mempengaruhi physiology (fungsi) tubuh badan anak sebab peraas itu normal bagi orang dewasa tetapi boleh menjadi toksik merbahaya untuk si kecil. 



Dalam perkongsian Medical Mythbusters Malaysia pada 10 Mei juga mengulas mengenai krim progesterone yang dijual secara berleluasa di media sosial. 

"Masalah kesuburan wanita ini bukan hanya disebabkan oleh ketidak-seimbangan hormon. Ada juga disebabkan faktor lain, malah faktor pasangan juga perlu diambil kira. Mungkin masalah bukan terletak pada kaum wanita sahaja tetapi pada pasangannya yang ada masalah kesuburan. 

"Selain daripada itu, masalah seperti tiub fallopio yang tersumbat atau ovari yang menghasilkan folikel tetapi tiada telur juga boleh menjadi sebab mengapa seseorang wanita itu sukar mengandung. Oleh sebab itu, bukanlah masalah berkaitan hormon sahaja. 

"Soalannya, sejauh mana seorang penjual yang tiada langsung latar belakang kesihatan atau kepakaran berkaitan sakit puan mampu membuat diagnosis yang tepat bahawa masalah kesuburan seseorang itu semuanya berpunca daripada hormon? Ada ke sebarang ujian darah yang dilakukan untuk melihat paras hormon seseorang itu dilakukan? Ada ke sebarang imbasan dilakukan untuk melihat keadaan tiub fallopio? 

"Oleh itu bagaimana si penjual ini sungguh bijak menyatakan bahawa ia adalah masalah hormon? Ke sebenarnya hanya hendak tolak produk seludup yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dijual oleh mereka ini?" kata kenyataan itu. 



Professor Imelda Balchin, yang juga Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya, turut berkongsi kisah seorang wanita berumur 33 tahun yang sudah lama mahu mendapatkan cahaya mata, namun meninggal dunia ketika kandungannya berusia 35 minggu. 

"Saya nak ceritakan kisah seorang wanita berumur 33 tahun yang setelah 10 tahun mencuba untuk hamil tetapi tidak berjaya. Kerana hendak sangat mendapatkan cahaya mata, pasangan ini telah menjalani rawatan IVF sebanyak tiga kali. Kali pertama dan kedua gugur dan mereka tersangat-sangat kecewa. Kali ketiga, berjaya kerana diberikan hormon yang berdos tinggi untuk menampung kehamilannya pada tiga bulan pertama. 

"Tetapi rawatan kesuburan dan IVF ada kesan sampingannya. Salah satu kesan sampingannya ialah ovarian hyperstimulation syndrome (OHSS) di mana hormon yang digunakan untuk meransangkan ovari menyebabkan ovari menjadi besar dan terlalu bengkak. Ovari ini juga mengeluarkan kelebihan hormon yang membolehkan air dari dalam saluran darah meresap keluar daripada darah. Akibatnya, darah menjadi lebih pekat daripada biasa dan lebih cenderung mendapat darah beku di bahagian kaki.

"Ibu ini mendapat darah beku di kedua-dua belah kakinya (Deep venous thrombosis). Untuk mengelak masalah darah beku ini bertambah buruk, ibu ini mendapatkan rawatan suntikan heparin untuk mencairkan darahnya setiap hari. Malangnya nasib ibu ini tidak baik kerana darah beku itu bertambah teruk dan berlanjutan dari saluran darah di bahagian kedua-dua betis hingga ke saluran darah besar iliac di atas paha sampai ke paras pinggangnya. Ibu ini terpaksa tinggal di wad untuk rawatan heparin setiap hari. 

"Pada satu hari, pada minggu ke-35 kehamilan, ibu ini tiba-tiba tidak boleh bernafas dan tidak sedarkan diri. Kami semua bergegas apabila mendengar bunyi loceng kecemasan dan memang kami semua sedia maklum bila ibu ini tidak boleh bernafas, ini bermakna terdapat ketulan darah beku yang sudah sampai ke dalam paru-parunya (pulmonary embolism). 

"Jantung ibu sudah berhenti berdenyut dan dia sudah tidak bernafas. Ini ialah keadaan yagn dinamakan 'cardiac arrest', Kami tiada pilihan lagi, saya di dalam pasukan pertama terus membuat CPR, menekan dadahnya bertubi-tubi untuk memaksa jantungnya untuk terus mengepam dan mengalirkan darah. Sambil itu, pasukan yang kedua pula memasukkan tiub pernafasan ke dalam saluran pernafasannya untuk memaksa oksigen masuk ke dalam paru-parunya. 

"Pasukan ketiga dengan serentak membuat pembedahan ceasar di atas katilnya di dalam wad juga. Tiada masa untuk memindahkan si ibu ke Dewan Bedah. Tiada masa untuk memberi ibu yang tidak bernyawa ubat bius. Tiada masa untuk kami bertukar pakaian ke baju 'scrub'. Tiada masa untuk kami mencuci tangan. Pasukan keempat memberi bayi bantuan pernafasan. Pasukan kelima membuat pembedahan dada ibu untuk mengeluarkan empat ketulan darah yang besar dari dalam saluran darah paru-paru. 

"Bayi berjaya diselamatkan, tetapi kami gagal menyelamatkan nyawa ibu. Suaminya berlinangan air mata bila menyambut bayinya. Saya tidak boleh membayangkan perasaan suami yang kehilangan isterinya yang tersayang kerana terlalu mahu mendapatkan cahaya mata. Sekarang mereka dikurniakan cahaya mata, tetapi alangkah sedihnya bagi suami ini kerana pada setiap tahun menyambut hari kelahiran anaknya terkenang peristiwa yang meragut nyawa isterinya. 

"Sejak dari hari itu, bila saya bertemu dengan wanita yang bersedih di klinik infertiliti untuk rawatan kesuburan, saya selalu menasihatkan mereka agar bersabar dan bersyukur walaupun belum lagi hamil. Ramai yang tidak faham mengapa mereka patut bersyukur. Ada angin, ada pohonnya.

"Tetapi saya pula tidak faham mengapa masyarakat kita selalu sangat melukakan hati dan perasaan pasangan yang belum lagi mendapat anak. Bercakap memandang-mandang, silap lidah jiwa hilang. Bila bertemu pasangan yang belum lagi ada anak, pantang bertanya 'bila lagi nak menimang anak?'. Kalau tak boleh juga buka topik yang lain, sila tutup mulut," ceritanya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak mencuba sebarang produk yang tidak diketahui sama ada kandungannya selamat atau mendapat kelulusan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jika ada masalah berkaitan kesuburan, bertanya kepada Pakar Sakit Puan, bukan bertanya kepada peniaga. Berjumpa dengan Pakar Sakit Puan terlebih dahulu untuk mendapatkan diagnosis sebenar masalah ketidaksuburan itu. 


from The Reporter http://ift.tt/2v9RcQj
via IFTTT
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger