Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid hari ini mendedahkan, siasatan pihaknya mendapati kes buli yang berlaku di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Kangsar baru-baru ini adalah berpunca dari tindakan mangsa menasihati salah seorang suspek berhenti menonton video lucah.
Hasil siasatan itu katanya diperolehi daripada mangsa buli yang menjelaskan dia sebelum itu menegur salah seorang suspek untuk tidak meneruskan perbuatan yang tidak bermoral itu.
"Kita sudah menemubual mangsa dan mendapati punca pergaduhan atau mengapa dibuli kerana mangsa dikatakan menasihati salah seorang suspek supaya jangan menonton video lucah melalui telefon bimbit.
"Mangsa mengatakan, kalau tidak berhenti menonton video lucah, dia akan mengadu dengan guru atau warden. Jadi, ia dikatakan menjadi punca suspek bertindak untuk memukul atau membuli mangsa," katanya.
Tindakan mangsa itu juga mengundang kemarahan enam suspek lain dan salah seorang pelajar Tingkatan 3 mengarahkan enam suspek terbabit menumbuk dan menendang mangsa.
Sehari selepas kejadian buli itu, kesemua pelajar diarahkan pulang ke kediaman masing-masing pada 10 Disember kerana cuti semester.
Setakat ini, 10 suspek yang dipercayai terbabit dengan kes buli termasuk pelajar yang bersubahat telah ditangkap sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Selain itu, sebanyak 11 buah telefon bimbit telah dirampas dan akan dihantar ke forensik untuk diperiksa kandungannya.
Polis akan merujuk kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut sebaik saja semua siasatan selesai dilakukan.
Ketika ini, mangsa masih menerima rawatan di sebuah hospital di Selangor kerana mengalami kecederaan tisu lembut akibat dari dipukul suspek. Mangsa dilaporkan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf memaklumkan, 10 pelajar yang terbabit dalam kes buli itu ditamatkan pengajian serta-merta berkuatkuasa hari ini.
Mara katanya, amat memandang serius kegiatan buli yang berlaku dan hukuman itu diambil menunjukkan bahawa pihaknya sangat tegas dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku yang membabitkan pelajarnya.
"Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM. Ibu bapa pelajar berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keputusan dibuat jawatankuasa," katanya.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/3EUXnb4
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment