Percubaan seorang buruh binaan warga Myanmar menipu pihak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kononnya bayi perempuannya berusia setahun cedera di kepala dan muka akibat ditendang lembu, gagal selepas 'kantoi' ketika memberi keterangan kepada pihak polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, mangsa dibawa ke HSB oleh bapanya berusia 27 tahun itu pada jam 10.56 malam dan memaklumkan kepada petugas HSB anaknya ditendang lembu ketika bermain di luar rumah.
Bagaimanapun siasatan mendapati, mangsa sebenarnya telah dilanggar oleh bapanya sendiri ketika mengundurkan kereta di kediaman mereka.
Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan muka melecet. Keadaannya dilaporkan stabil dan berada di bawah pengawasan Wad Unit Rawatan Rapi (ISU).
Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, kerana menganiaya, mengabaikan, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkan dianiaya, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian.
Jika disabitkan kesalahan, bapa mangsa boleh dihukum denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Bapa mangsa yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dari tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun, dan sebat tidak kurang dari tiga sebatan.
Bapa mangsa kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/3E3Oz1f
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment