Tak tahan diejek kerana masih 'single', seorang nelayan nekad meragut nyawa rakannya sendiri dalam kejadian yang berlaku pada jam 11 malam Selasa, 10 Ogos 2021, di Kabupaten Blitar, Indonesia.
Ketua Polis Blitar, Adhitya Panji Anom berkata, suspek, Iskandar, 38, yang membunuh rakannya, Nurhuda, 36, telah ditahan untuk membantu siasatan.
Difahamkan, pihak polis sebelum itu menerima panggilan dari orang awam yang melaporkan berlakunya pergaduhan di sebuah rumah sehingga menyebabkan kematian.
Siasatan awal mendapati, Iskandar pada Khamis, 5 Ogos 2021, telah mengajak Nurhuda bekerja di Blitar sebagai nelayan. Sabtu, 7 Ogos 2021, kedua-dua mereka menaikan bas bersama dengan rakan yang lain pergi ke lokasi tersebut. Sebaik tiba, mereka menginap di sebuah rumah yang lokasinya tidak jauh dari tempat kerja.
Dalam keterangan kepada polis, suspek mengaku dia kesal dengan tindakan Nurhuda yang selalu mengejeknya masih single. Selain mengejeknya belum mempunyai pasangan, Nurhuda juga selalu mengejeknya tidak mempunyai pekerjaan tetap.
"Ejekan itu kerap dilakukan sejak sebelum mereka berangkat ke Blitar. Hal itu membuatkan suspek berdendam sehingga satu tahap dia tidak dapat menahan diri," kata Adhitya.
Pada hari kejadian, suspek berpura-pura tidur. Di tengah malam, suspek bangun dan menuju ke bilik mandi di tingkat bawah tanpa disedari oleh dua rakannya yang sudah tidur nyenyak.
Di bilik mandi, suspek mengambil sebatang besi lalu naik semula ke tingkat atas dan memukul mangsa. Rakan mangsa yang menyedari kejadian itu terus bangun dan melarikan diri sambil menjerit meminta tolong. Tidak beberapa lama kemudian, beberapa penduduk lain yang terdengar jeritan itu terus datang dan menangkap suspek.
Mangsa yang cedera segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun sudah terlambat, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan satu laporan polis telah dibuat.
Suspek langsung tidak melawan ketika ditahan polis. Suspek bakal dikenakan tindakan undang-undang dan jika didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Sumber: Indo Zone
from The Reporter https://ift.tt/3m7jlBg
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment