"Suami yang baik adalah suami yang mampu menahan talak atua perasaan marah pada isterinya." begitu tepat sekali ayatnya, moga golongan suami dapat membaca maksud tersirat di sebalik kata-kata yang dikongsikan oleh penulis perihal rumah tangga, Mizan Dzai. Semoga bermanfaat.
BENDA boleh dibaiki, jangan diganti
Ada isteri lembut bicara menyambut suami di depan pintu sambil menunggu kucupan di dahi tapi masak air pun boleh kering, sudahnya bungkus tomyam dan kailan ikan masin di kedai Kak Yah Utara.
Ada isteri pandai melawa, segak bergaya sendat berbalut nangka. Tapi bila bab melayan suami, bukan main payah sampai nak kena suami mengamuk baru nak dengar kata.
Ada isteri sekadar cukup muka berpelembab dan pencuci, tapi hidup di dunia dan akhiratnya demi redha suami, setiap nafas, bangun dan tidurnya hanya buat syurga yang kekal abadi.
Sebab itu kita yang lelaki dan suami ini janganlah tak sudah-sudah pandang orang lain yang kononnya lebih baik dari isteri di sisi. Takkan pernah habis kalau nak dicarinya kekurangan isteri.
Kereta rosak pandai baiki, kereta dah lama pandai pula dimodifikasi tapi isteri gemuk, lonyot sana sini terus dicari ganti. Tuan puan, ini kita panggil bangang abadi.
Suami, sesekali rajinkan diri jenguk cermin di rumah tu. Entah-entah kita punya kekurangan lagi banyak dari isteri. Silap-silap isteri yang banyak berkorban sepanjang hidup bagai hamba abdi.
Ini tidak, nampak bini orang lain lawa, dijelingnya si isteri. Nampak bini orang lain manja, dibanding-bandingkannya dengan si isteri. Nampak bini orang lain ada bisnes atau kerjaya masyuk bergaji, dikutuk-kutuknya isteri sendiri. Nampak bini orang lain sempurna serba serbi, gatal juga kepala nak berpoligami kononnya melengkapi kekurangan si isteri.
Dalam sedar atau tidak, ramai sebenarnya cemburukan kehidupan yang kita miliki. Sebab itu kena banyak bersyukur dan hargai apa yang sudah tentunya jelas depan mata sendiri.
Kita yang lelaki ini kalau nak berpoligami tapi keluarga sedia ada pun masih porak peranda, isteri pun kita tak pernah ajak solat bersama, isteri bahagia atau pun tidak sepanjang bernikah pun tak pernah kita bertanya, tak usahlah.
Poligami itu tak salah, yang selalunya salah adalah cara yang kita guna pakai untuk ke arah berpoligami. Perhalusilah poligami itu sebaiknya, bukan semata-mata mampu kewangan, mampu kebatinan.
Nak mengurat pengganti atau madu buat isteri, tunjuklah kita hebat bukannya sebat semua kebodohan dunia dengan menceritakan aib dan keburukan isteri. Bukan dengan meletakkan semua kesalahan pada isteri sebagai lesen untuk kita berpoligami.
Kalaupun dah tak sayang, dah tak cinta, sampaikanlah niat pada walinya. In shaa Allah bapa, abang atau saudara lelakinya akan membawa dia pulang ke rumah keluarga. Bukan diseksa dengan menyakiti hati atau batang tubuhnya. Be a gentleman.
Lelaki yang kuat adalah lelaki yang mampu menahan talak atau perasaan marah pada isterinya. Lelaki yang sabar pula ialah lelaki yang mampu mendidik dan membentuk isterinya manakala lelaki yang rugi adalah lelaki yang menjandakan isteri mereka untuk janda pilihannya.
Sabar, baik isteri mahupun suami.
Jadilah pasangan yang kuat menghadapi dugaan hidup dalam menjalani bahtera cinta sejata. Jadilah lelaki contoh untuk anak-anak lelaki kita kagumi. Jadilah lelaki contoh untuk anak-anak perempuan kita kahwini nanti.
Tak pernah wujud isteri yang sempurna, apatah lagi suami yang cukup segalanya. Jangan dibuka ruang buat haiwan yakni pihak ketiga yang menunggu saat dan detik untuk menyondol rumah tangga kita.
Perkahwinan adalah institusi yang menemukan pasangan dan rakan kongsi hidup yang sehati dan sejiwa untuk bersama-sama mengharungi segala suka dan duka erti kehidupan.
Selami serta hayati makna sebuah perkahwinan iaitu saling bertoleransi dan melengkapi bukannya sesuka hati mencari pengganti.
Sumber: Mizan Dzai
from The Reporter http://bit.ly/2IA5ccI
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment