Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah dijadualkan membuat keputusan itu pada 2.30 petang.
Pihak pembelaan mengakhiri kes mereka pada 19 Jun lalu selepas memanggil enam saksi.
Pada 28 Jan 2020, Azman memerintahkan remaja itu yang berusia 16 tahun ketika didakwa melakukan kesalahan berkenaan, membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang kini berusia 19 tahun.
Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan seorang lagi individu yang seusia remaja itu, yang dituduh bersama-samanya tanpa dipanggil membela diri.
Pada awalnya kedua-dua mereka dituduh secara bersama atas kesalahan membunuh namun pertuduhan tersebut dipinda susulan keputusan pada akhir kes pendakwaan.
Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di Kuala Lumpur antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.
Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.
Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda atau pampasan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim sementara tertuduh diwakili peguam Haijan Omar.
Seramai 71 saksi memberi keterangan semasa peringkat pendakwaan yang bermula pada 30 Mei 2018.
Antaranya ialah Pengarah (Bahagian Keselamatan Kebakaran) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Putrajaya Edwin Galan Teruki yang memberitahu mahkamah injap dua tangki gas yang ditemukan di lokasi kebakaran di pusat tahfiz tersebut telah ditebuk.
Seorang lagi saksi, pegawai sains di Makmal Siasatan Kebakaran JPBM Kuala Lumpur Yusnita Osman berkata kesan petrol ditemukan pada sampel yang diambil daripada bangunan yang terbabit dalam kebakaran.
Sementara itu, remaja berkenaan dalam pembelaannya menafikan berada di perkarangan tahfiz ketika kejadian.
Seorang lagi saksi pembelaan, remaja berusia 19 tahun, memberitahu Mahkamah Tinggi yang dia bersama-sama tertuduh serta rakan-rakan lain menghisap ganja sebelum kebakaran berlaku.
Saksi pembelaan ketiga itu berkata enam rakannya termasuk tertuduh, datang ke rumahnya dan mereka kemudian menunggang motosikal ke sebuah pondok di Taman Balak, Datuk Keramat di Kuala Lumpur untuk menghisap ganja antara 1 dan 2 pagi pada 14 Sept 2017.
Tragedi menyayat hati itu mengorbankan 21 pelajar dan dua guru yang terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/2FwEAcj
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment