Kanak-kanak bunuh diri selepas dibuli rakan sekolah

shamsulazlan | 21:14 | 0 comments

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mengantung dirinya selepas pembuli menulis nota "Awak bunuh diri saja, awak tak layak berada di  sini," pada tablet miliknya, menurut ibu mangsa. 

Kevin Reese Jr mati bunuh diri pada 21 Januari selepas pulang dari sekolahnya di Houston, Texas, ketika ibunya, Crystal, keluar ke bandar atas urusan perniagaan dan bapa tirinya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis bekerja. 

Mangsa ditemui oleh kakaknya berusia 13 tahun dan Crystal mendakwa anaknya mati disebabkan pembuli terbabit. 

"Dia dah tak larat, tak larat dan rasa yang dia patut pergi," kata Crystal memetik laporan dari KTRK. 

Crystal berkata, sebelum ini Kevin pernah memberitahu yang dia ditumbuk oleh pembuli, tetapi dia tidak membalas perbuatan individu itu. 

"Saya sangka dia dapat menangani situasi itu. Namun, pembuli itu menulis di tabletnya "Awak bunuh diri saja, awak tak layak berada di sini". 

"Dia pulang ke rumah sambil menangis kerana dia tidak mampu melawan pembuli itu dan salah seorang dari pembuli menumbuk dia beberapa kali pada waktu rehat," katanya. 

Mengimbas kembali detik anak perempuannya menghubunginya untuk memaklumkan Kevin telah mati, Crystal berkata, "Dia menjerit di telefon dan saya tidak faham pada awalnya, dia menjerit "KEVIN!!!" 

"Saya bagaikan tidak percaya, saya terkedu seketika," katanya. 

Crystal juga kesal, salah seorang pegawai dari sekolah Kevin menafikan dakwaan bahawa Kevin dibuli. Katanya, Kevin mendakwa dia ditumbuk oleh pembuli, tetapi individu terbabit menafikan dakwaan itu. 

Bagaimanapun, pegawai terbabit telah dipindahkan ke daerah lain. 

Crystal menggesa golongan ibu bapa tidak memandang remeh sekiranya anak mereka mengadu dibuli oleh rakan sekolah dan tidak membiarkan mereka menangani masalah itu sendirian. 

Sumber: Metro


from The Reporter https://ift.tt/2I1b0uI
via IFTTT

'Baru 10 langkah, enjin motosikal terpadam...'

shamsulazlan | 07:59 | 0 comments

Sekadar perkongsian untuk bacaan suka-suka. Bagi mereka yang lemah semangat dan mudah terbayangkan perkara yang tidak sepatutnya, anda dinasihatkan untuk tidak meneruskan bacaan. Risiko tanggung sendiri. Gambar-gambar yang digunakan juga hanyalah sekadar hiasan sahaja. Selamat membaca.

INI kisah yang berlakusemasa aku bekerja di sebuah depo kontena yang terletak di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Kalau tak silap aku, tahun 2001. Masa itu company aku antara syarikat yang besar juga. Orang tanya kerja apa? Kembang kempis hidung aku beritahu nama company. Padahal aku kerja kuli je pun. 

Tugas aku di sini adalah memantau pergerakan kontena keluar masuk ke depo setiap hari. Ada kontena yang masuk via rod dan ada yang datang via rail. Kerja di sini ada tiga syif iaitu pagi, petang dan malam. 

Kerja pagi syok, hang happy datang awal, balik awal. Kerja petang pun syok. Banyak masa kosong, siap boleh main ping pong setiap petang. Kerja malam lagi syok, boss tak ada. Boleh berkaraoke, main gym, keluar masuk ikut suka hati. Asalkan kerja hang jalan elok, tak ada sangkut. Hang buatlah apa pun, supervisor pun sama naik juga perangai dengan anak buah. 

Tapi kerja malam juga tak syok bila partner hang call beritahu, "Bro, aku MC malam ni.". Bila dapat panggilan seperti itu, mood syok langsung melayang ke langit malam yang hitam sebab bila parner tak datang, ertinya hang kena stay seorang diri dalam depo yang seluas 10 padang bola, dipenuhi timbunan kontena dan di kelilingi hutan bakau. 

Satu lagi, bila kena pergi seal kontena di railway, hang kena pergi seorang nun di belakang depo tu. Tempat jin bertendang baq hang. 

Pada satu smalam, syif malam minggu, partner aku call beritahu dia MC. Dejey sungguh! Beritahu pula last minute, memang tak ada penggantilah. KEna pula malam minggu, mana ada member nak ganti. 

Keadaan depo pada malam itu memang sunyi sepi. Apa bunyi karaoke ke, forklift ke apa pun tak ada. Traler pun tak mahu masuk depo. Melangutlah aku seorang diri dalam kabin 40 kaki yang bertingkapkan kaca dari hujung kiri ke hujung kanan. Bila duduk dalam kabin itu, hang boleh nampak segala macam yang berlaku di luar. Waktu siang orang tak akan nampak hang di dalam sebab tinted. Bila malam, hang boleh nampak luar  dan yang di luar pun boleh nampak orang di dalam kontena. 

Jam di dinding tepat menunjukkan jam 1:00 pagi. Aku sumpah tak boleh tidur walaupun lampu sudah ditutup. Cahaya lampu di luar masih terang menyimbah ke dalam kabin. Suasana sunyi dan hening. 

"KRINGGGG!!! KRIINNGGGG!!!!" 

Tersentap aku dengan bunyi telefon di tengah malam buta ini. Ganggangnya aku angkat dan letak di telinga. 

"Edi, loko on the way. Tolong final check up semua kontena. 20 unit, 38 teus. Check wagon lock dengan seal sekali," kedengaran suara Sham, staff KTMB dari corong telefon. 

Ini yang aku tak gemar. Jam 1:00 pagi kena pergi ke railway untuk pre departure. Bukan tak pernah buat, tetapi setiap kali buat job ini asyik berdebar. Jadi, aku tabahkan hati dan capai kunci motosikal. Di pinggang aku terselitnya torchlight jenama Dolphin yang sebesar alam itu. 

Tiba di railway side, aku tongkatkan motosikal tetapi enjinnya tidak dimatikan. Biar bising sikit, tak adalah nak serius gigi sangat. Aku perhatikan keadaan sekeliling kalau ada kehadiran staff KTMB, boleh juga jadi peneman. Tobat la tak ada. Depa pun kalau malam, tak adanya nak pergi rail side itu tanpa sebab. 

Aku biarkan motosikal aku dengan enjin hidup dan terus buat pemeriksaan wagon. Satu persatu aku check dari wagon 1, 2, 3 hingga wagon 4. Hampa tahu tak wagon itu apa? Pernah tengok kereta api bawa kontena kan? Itulah wagon. Dia memang khas untuk bawa muatan kontena sahaja. Kalau bawa penumpang, makan asaplah sepanjang perjalanan. Tak ada dinding, tak ada kerusi, hanya lantai sahaja.

Tiba di wagon 4, aku terpaksa panjat naik sebab ada kontena laden (berisi) yang belum seal. Sedang terbongkok-bongkok memasang seal, aku pasang telinga. Sunyi. Aku jengok kepala tengok motosikal aku di belakang, enjin mati siot, patutlah sunyi. 

Dah siap seal, aku pun turun mendapatkan motosikal dan ubah ke depan sikit bagi dekat dengan aku dan enjian dibiarkan on lagi. Aku teruskan tugas tadi hingga ke wagon 9. Tengah check lock, enjin motosikal aku mati sekali lagi. Ah sudah! Takkan tuning low? 

Lagi sekali aku menapak ke motosikal dan hidupkan enjin dan bawa motosikal ke depan. Kali ini aku lajak terus dan parking dekat dengan wagon ke-13. Nanti aku patah balik jalan kaki saja ke wagon 10. Selepas park motosikal dengan enjin dihidupkan, aku pun jalan patah balik. Baru sepuluh langkah, enjin motosikal terpadam. 

Dalam hati aku dah berasa macam nak lari balik tidur di celah ketiak mak. Tapi masih berfikiran waras dan positif. Aku biarkan saja motosikal itu mati di situ dan terus berjalan ke wagon 10 serta sambung tugas aku ke wagon seterusnya sehingga ke wagon 18. Motosikal aku dah tertinggal di belakang dan masih berbaki tiga wagon untuk diselesaikan. 

Kemon bro! You can do it! Peluh dah mula merembas di badan. Malam itu pula agak panas dan angin juga tiada. 

Tiba di wagon 18, sekali lagi aku kena naik ke atas untuk seal. Ada kontena yang belum dikunci dengan baik. Aku pun naik, buka lock dan tutup balik pintu dengan kuat. 

'GEDEGAAAANGGG!!!' bunyinya memecah keheningan malam. Serentak dengan itu, aku terdengar bunyi "Creeettttt... Creeettttt... Vrooommmmm!!!". 

Automatik kepala aku berpaling ke arah motosikal. Allahu, lahanat mana start motosikal aku ni woii??!! Tadi hang nak tutup sangat, ni nak start pula! 

Waktu ini, dada aku dah berombak sakan. Berasa seluruh urat darah mengembang dan berkumpul di leher. Telan air liur pun tak lepas. Lampu motosikal aku terang menyuluh ke wagon 13. Aku punya cuak hampa jangan tanya nuh, kalau boleh nak buat-buat pengsan di situ juga tapi kalau aku pengsan sekarang, confirm esok pagi orang jumpa aku. Tak gunalah berlakon kalau kena duduk di situ seorang diri sampai ke siang hari. Macam mana nak buat ni?

Lantas aku mengambil keputusan untuk buat bodoh sebab mahu tak mahu, aku kena selesaikan dua lagi wagon. Kalau tak selesaikan, esok pagi kena leter dengan boss pula. Jadi dengan langkah bodoh jugalah aku menuju ke wagon 19 dan 20. Dah siap lock yang aku sendiri tak pasti okey atau tak, terus aku gerak menuju ke motosikal yang masih dihidupkan enjinnya. 

Aku tiada pilihan lain. Takkan nak berlari balik ke kabin? Jauh kot? Lagi macam-macam dok tunggu tengah jalan, mau tercirit aku dalam seluar. 

Maka melangkahlah aku menuju ke motosikal Yamaha Sport 1996 itu dengan lutut penuh goyangan. Baru selepas beberapa langkah, aku perasan ada sesuatu di bawah wagon 13 yang disuluh oleh lampu motosikal aku. 

Di antara wagon 12 dan 13, di atas batu railway ada sepasang kaki manusia seolah-olah sedang tidur meniarap melintang di atas besi landasan. Nampak kaki saja yang kotor dan kurus tidak berapa putih, tidak berapa hitam. Pucat barangkali. 

Aku terkesima dan terpaku sekejap. Kaki aku sendiri berasa seperti dipasung ke tanah. Mata aku terus memandang kaki itu dengan penuh yakin bahawa aku dah kena game malam ini. C***** betul! Bulu roma aku, jangan kata bulu roma, habis semua bulu di badan pakat terpacak berramai-ramai. 

Ini bukan main-main dah, bukan imaginasi. Ini real. Kaki itu masih berada di situ seolah-olah menunggu aku datang. 

Aku bergerak selangkah ke belakang, bersedia untuk lari pecut jurus tak jejak tanah kalau ada apa-apa kejutan dari kaki itu. Ya, memang dia nak dajeykan aku malam ini. 

Selepas aku langkah selangkah, kaki itu bagi ditarik ke bawah wagon dan hilang dari pandangan. Aku masih kena gam di tanah. Dalam hati cuba bertenang dan segala lipatan ayat-ayat suci mula terbentang di depan mata. Dari Al-Fatihah hingga Ruqyah semua aku tibai, Pesan-pesan ayah mula timbul benak kepala. 

"Toksah jadi jantan kalau takut hantu setan." 

Padu! Makan dalam bhaii. 

Tiba-tiba dari bawah wagon, aku terdengar benda diseret berlaga dengan batu-batu di landasan. Laju macam ditarik ke depan dan belakang. Entah dari mana datang kekuatan, aku tunduk ke bawah dan jenguk apa yang berlaku. Sekujur tubuh bersalut kain putih lusuh sedang berenang-renang di bawah wagon tetapi laju. Macam berenang dalam swimming pool. Kejap dia ke depan, kejap dia ke belakang. 

Wajahnya tidak kelihatan sebab dipaling ke arah bertentangan. Torchlight dolphin aku jelas menerangi pentas aquatic mak lampir yang sedang membuat persembahan di bawah wagon. 

Hampa pernah tak rasa macam ni? Dari perasaan takut sangat, tiba-tiba bertukar menjadi berani sangat. Itu yang berlaku pada aku. Tanpa cakap banyak, torchlight dolphin itu aku punggai ke bawah wagon. 

"WOI BABI! BALIK LA WOI!! AKU NAK BUAT KERJA LA PELAAAQQQQ!!!" 

Itu yang terpacul keluar dari mulut aku dengan lantang. Tak ada dah nak jampi doa bagai. Terus aku babikan dia tang tu juga. Kurang ajar, bedebah punya jin, mangkuk hayun, nakharom habis semua keluar tanpa skrip. 

Aku dah tak peduli masa tu, kalau dia keluar memang aku tumbuk tang muka bagi lutut kat perut. Kurang asam betul, buat main time orang bekerja. Pergilah main tang lain. Hilang terus rasa takut aku. Dada jadi kembang dan kepala jadi besar. Aku berdiri terpacak tunggu dia keluar. Lampu dolphin aku dah padam dan enjin motosikal aku pun padam sama serentak. 

Aku geram sangat dah masa itu. Aku tunggu saja dia nak buat apa pula selepas itu. Memang aku dah bersedia. Koboi pun koboilah. Bukan nak cakap besar tapi rasa takut aku dah hilang 200 peratus. Aku bayangkan dia macam perampas marka aku masa sekolah dulu. Makan kaki la hang satgi. 

Selepas beberapa minit menunggu, mak lampir itu tak keluar. Suasana kembali menjadi sepi. Hening dan bayu malam memuput lembut ke wajah aku yang berkeringat umpama The Rock yang baru belasah Undertaker. 

Aku melangkah ke motosikal dan tiba-tiba bunyi pagar landasan dibuka. Aku berpusing ke belakang nak tengok menatang apa pula dah dok mai nih! Dari jauh kelihatan kelibat lampu torchlight dan dua orang memakai reflector vest masuk ke landasan diikuti sebuah lampu yang besar macam spotlight. Locomotive engine sudah sampai untuk tarik wagon keluar. 

Fuhhh!! Aku menarik nafas lega bagai baru sudah lari full marathon. Macam nak menangis pun ada, punyalah terharu nampak makhluk manusia. 

Setelah berbicara sebentar dengan staff KTMB berkenaan tugas, aku start motosikal dan balik ke kabin. Aku hempaskan pintu kabin dan duduk berteleku di atas kerusi. Otak aku kembali memutar drama seram yang berlaku tadi. Begitu begini begitu begini aku berfikir. Macam nak cari kerja lain pun ada. Ini bukan kali pertama terjadi pada aku. Staff lain yang kena lebih teruk pun ada.

Jam di dinding menunjukkan jam 3:35 pagi, masih berbaki tiga jam untuk aku tamatkan syif ini. Perlahan-lahan aku tundukkan kepala mengenang si mak lampir tadi dan mata aku terpaku pada seluar jeans jenama Dapper yang sudah dua tahun tak bertukar baru. 

Apasal basah sangat ni?? Hareeyy! Aku terkencing dalam seluar. Sial punya mak lampir. Sekian.



from The Reporter https://ift.tt/2V5wk5T
via IFTTT

'Jangan ingat rakyat Sarawak bodoh' - Nancy selar Putrajaya tarik balik 3 projek jambatan di Sarawak

shamsulazlan | 05:59 | 0 comments

Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri memberi amaran kepada Putrajaya agar tidak menganggap rakyat Sarawak bodoh. Kenyataan itu dibuat berikutan Kerajaan Pusat menarik balik projek pembinaan tiga jambatan atas alasan kekangan kewangan. 

Menurut Nancy, beberapa wakil rakyat Sarawak sebelum ini membangkitkan isu pembinaan jambatan di Igan, Rambungan dan Batang Lupar serta beberapa pembangunan lain di Dewan Rakyat. Tetapi alasan yang diberikan, tetap sama iaitu kekangan kewangan. 

"Kerajaan persekutuan atau mana-mana parti pemerintah harus memberi kemudahan ini untuk kegunaan rakyat Sarawak. Tidak bolehlah kata tidak ada duit. Sudah beberapa kali isu ini dibangkitkan di Dewan Rakyat, menteri asyik kata tunggu lagi. 

"Kami bukannya bodoh, cakap duit tidak ada tetapi sebenarnya banyak duit. Kalau jadi pemimpin, jadilah pemimpin untuk semua rakyat. Masa pilihan raya bolehlah bergaduh untuk menang. Tetapi selepas pilihan raya, janganlah berdendam," katanya memetik laporan dari Free Malaysia Today (FMT). 

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg mengkritik dan menggelar Putrajaya buruk selepas selepas menarik balik projek pembinaan tiga jambatan itu dan beberapa projek lain. 

Menurut Nancy lagi, selain tiga projek tersebut, beberapa projek-projek pembangunan kecil lain yang bernilai RM20,000 hingga RM30,000 turut dibatalkan.

"Betapa kejamnya kerajaan yang ada pada hari ini. Saya kata demikian kerana kami merasainya, saya bersyukur kerana kerajaan Sarawak dapat berikan kami peruntukan. Jika tidak diberikan peruntukan, kami turun ke kawasan tidak ada duit," katanya.

Nancy berkata, walaupun negerinya dikatakan ketinggalan namun banyak projek hendak dilaksanakan disitu dan banyak pihak hendak berkawan dengan orang Sarawak.

“Mereka hendak gunakan sebagai proksi. Saya cakap betul, jangan perbodohkan kami, kerana ini adalah hak orang Sarawak,” katanya.

Menurut Nancy, mana-mana pihak mempersoalkan apakah sumbangan Barisan Nasional (BN) selama 55 tahun di Sarawak harus melihat semula diri mereka, memandangkan setiap pembangunan di negeri berkenaan dilakukan kerajaan terdahulu.

“Ada yang kata BN memerintah selama 55 tahun, apa yang BN lakukan. Jangan malukan diri sendiri, jangan soal kami sedemikian. Jika tidak kerana BN, anda bersekolah di mana? Jalan mana yang anda lalui? Setakat ini mana dia legasi dari PH?

“Jangan sombonglah, semua keindahan dan pembangunan di Sarawak itu daripada kerajaan BN. Saya marah sebab kami sudah buat kerja. Kami dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak malu berjalan mendongakkan kepala. Kami bangga kerana tahu sudah jalankan tugas dengan baik,” katanya.



from The Reporter https://ift.tt/2I1VH54
via IFTTT

'Adik saya tak mencuri' - Disangka pencuri tabung masjid, dahi berlubang dipukul dengan besi

shamsulazlan | 05:29 | 0 comments

Seorang remaja berusia 17 tahun cedera di bahagian dahi akibat dipukul seorang lelaki yang mendakwa mangsa mencuri wang tabung masjid.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 11 malam Selasa lalu di sebuah masjid di Tanjong Karang, mangsa, Adam Sufyan sebelum itu baru saja selesai bekerja di sebuah gerai nasi lemak berdekatan dan mahu menunaikan solat Isyak di masjid itu. 

Kebetulan pagar utama depan dan belakang masjid berkunci, mangsa masuk melalui celah pagar yang sudah rosak dan meletakkan motosikalnya tidak jauh dari situ. 

Setelah selesai solat dan keluar melalui pagar yang sama menuju ke motosikalnya, mangsa ditahan seorang lelaki berusia 40-an yang bertanyakan beberapa soalan sebelum menuduh mangsa mencuri wang tabung masjid. 

Suspek memukul mangsa menggunakan besi mengakibatkan kecederaan. Suspek juga mengambil kunci motosikal milik mangsa. Adam kemudian bangun dan menolak motosikal ke arah gerai rakannya bersebelahan sebuah sekolah untuk meminta bantuan. 

Adam dan rakannya kemudian kembali ke lokasi kejadian dan suspek yang masih berada di tempat itu turut membawa dua rakannya yang lain. 



Mangsa mengambil kunci motosikalnya dan besi yang digunakan oleh suspek untuk memukulnya. Suspek pula memohon maaf di atas tindakannya itu. 

Ekoran kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Karang sebelum pergi ke Hospital Tanjung Karang dan menerima enam jahitan di dahinya. 


Ketua Polis Daerah Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab mengesahkan pihaknya menerima laporan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. 

Kejadian itu turut diviralkan oleh kakak mangsa di media sosial. 

"Doakan adik saya cepat sembuh dan penjenayah dapat ditangkap segera. Bukti lingkaran besi yang dipukul ke Adam dan songkok dia termasuk ke rantai motosikal selepas terjatuh dari motosikal dengan hayunan pertama dari pemukul yang mengakibatkan dahi berlubang. 


"Nasib baik tak mati adik aku kau kerjakan. Keluarga kami mahukan keadilan. Jika Adam didapati mencuri di masjid, hukumlah dia mengikut undang-undang. Saya mohon pihak masjid buat laporan polis, buktikan CCTV di sekitar masjid. Jika Adam didapati tidak bersalah, saya mohon doa semua orang semoga keadilan berpihak pada yang benar.


"Alhamdulillah, dapat kerjasama yang sangat baik dari pihak masjid. Setelah diteliti CCTV, adik saya tidak mencuri, hanya solat sahaja. Saya dimaklumkan masjid itu baru reda dari kecurian tabung dan kebetulan pula waktu adik saya masuk masjid, sama dengan waktu kecurian tabung masjid sebelum ini. 

"Pihak AJK masjid tidak ada kena mengena dengan kes pukul ini. Semua ini berlaku di luar masjid. Jangan salah anggap. Kes hampir selesai, suspek telah dikenal pasti dan tunggu tangkapan," kata kakak mangsa. 



from The Reporter https://ift.tt/2CJ4yoI
via IFTTT

8 kucing mati, 3 kebuluran ditinggalkan pemiliknya dalam rumah kosong

shamsulazlan | 04:39 | 0 comments

Penduduk di rumah teras di Bandar Mahkota Cheras mengadu mengalami masalah bau busuk yang dipercayai datang dari salah sebuah rumah berdekatan. 

Bimbang sekiranya bau itu datang dari bau mayat, penduduk membuat aduan kepada pihak berkuasa pada Isnin lalu yang kemudian datang memeriksa rumah tersebut.

Bagaimanapun tiada mayat yang ditemui tetapi terdapat lapan bangkai kucing terperangkap dalam rumah berkunci. 

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn, Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, mereka dimaklumkan oleh pihak polis mengenai aduan itu. 

"Penduduk di situ berkata, bau busuk itu seperti bau mayat yang sudah membusuk dari salah satu rumah di kawasan kejiranan itu di mana rumah itu telah dikosongkan lebih daripada sebulan. 

"Empat anggota bomba bersama satu jentera dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mencari jalan masuk ke dalam rumah tersebut," katanya. 

Pemeriksaan di rumah itu mendapati terdapat lapan bangkai kucing telah mereput dan hanya beberapa ekor kucing saja yang masih hidup.

"Kami juga menemui tiga ekor kucing yang masih hidup. Tetapi keadaan haiwan itu teruk kerana kebuluran. 

"Anggota bomba memberi makanan dan minuman kepada kucing itu dan kami telah menyerahkan perkara itu kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. 

Difahamkan, pemilik kucing sebelum ini telah menyewa rumah itu. Polis tidak menolak kemungkinan bahawa pemilik kucing terlupa atau sengaja meninggalkan haiwan peliharaannya itu. 



from The Reporter https://ift.tt/2Ox5QYH
via IFTTT

'Ada orang salahguna nama, gambar saya' - Remaja tampil nafi nak miliki iPhone sebelum kiamat

shamsulazlan | 21:35 | 0 comments

Susulan viral rakaman skrin perbualan seorang individu yang mahu memiliki iPhone sebelum kiamat, pemilik gambar sebenar telah membuat laporan polis dan menafikan dirinya terlibat dalam isu viral itu. 

Remaja yang berasal dari Taman Perling, Johor Bahru itu berkata, dia menyedari ada individu yang telah menggunakan nama dan gambarnya untuk membuat akaun palsu. 

"Saya mendapati seseorang yang saya tidak kenali telah menggunakan nama dan gambar saya secara salah di media sosial dengan membuat akaun palsu dalam media sosial. 

"Saya mendapati orang tersebut telah membuat personal mesej kepada penjual iPhone online dengan berurusan seperti hendak membeli telefon, tetapi hanya gurauan sahaja.  

"Tujuan saya membuat laporan polis ini untuk membersihkan nama saya dalam media sosial," katanya dalam laporan tersebut yang dibuat di Balai Polis Bukit Indah, Iskandar Puteri. 

Terdahulu, viral di media sosial rakaman skrin perbualan di antara individu terbabit yang hendak memiliki iPhone sebelum PT3 dan sebelum kiamat kerana dia terlalu ingin memiliki telefon itu sehingga sanggup memintanya secara percuma dari penjual berkenaan. 

BERITA BERKAITAN:


from The Reporter https://ift.tt/2FKWmpG
via IFTTT

'Saya sudah tua, tak banyak masa lagi sebab itu saya tergesa-gesa' - Tun Mahathir

shamsulazlan | 21:19 | 0 comments

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau perdana menteri yang tidak mempunyai banyak masa lagi kerana mengambil kira usianya yang mencecah 93 tahun itu.

"Saya bertuah untuk hidup selama ini. Sebenarnya, saya tidak patut hidup lagi untuk menyaksikan apa yang berlaku terhadap pengganti saya tetapi saya bernasib baik kerana saya bukan sahaja tua tetapi masih berupaya berfungsi.

"Tapi saya sedar saya sangat tua dan tidak lama lagi saya akan kehilangan kudrat dan saya akan mati.

"Jadi, saya tergesa-gesa. Orang lain mungkin mengambil perkara dengan mudah, tetapi saya hendak cepat kerana saya sedar saya sudah tidak banyak masa lagi untuk melakukan apa yang sepatutnya dibuat di negara ini," kata beliau dalam wawancara bersama Focus Malaysia.

Dr Mahathir juga maklum beliau cuma perdana menteri sementara dan menegaskan beliau bersedia melepaskan jawatan apabila tiba masanya.

Tarikh undur

Anggota parlimen Langkawi berkata beliau akan melakukan yang terbaik selagi menjalankan amanah sebagai perdana menteri.

"Jika saya diminta berundur, saya akan pergi kerana tiada tarikh khusus yang diberikan. 

"Saya hanya diberitahu (PH sebelum PRU14) bahawa saya perdana menteri dari pakatan pembangkang, tetapi mereka tidak memperincikan tarikhnya (sehingga bila).


"Mereka telah berkata saya hanya (perdana menteri) sementara dan akan ada orang lain yang akan mengambil alih. Saya fikir masanya mungkin lama sebelum pilihan raya umum akan datang," katanya dipetik sebagai berkata.

Tahun lalu, Dr Mahathir memimpin PH untuk menumbangkan BN yang memerintah Malaysia selama 61 tahun lalu sejak kemerdekaan.

Beliau menjadi pemimpin kerajaan yang paling tua di dunia.

Mahathir turut menolak kemungkinan berlaku rombakan kabinet walaupun mengeluh mengenai jemaah menterinya yang kurang pengalaman.
"Sekiranya saya menggugurkan dan menggantikan mereka, ia tidak membantu.

"Saya perlu mencuba dan bekerja dengan mereka supaya mereka mendapat pengalaman dan saya percaya ada di kalangan mereka yang menjalankan kerja dengan bagus," jelasnya.

Menurutnya lagi jemaah menteri perlu menerima teguran dengan baik, khususnya jika mereka berterusan berkelakuan seperti pembangkang. - MalaysiaKini


from The Reporter https://ift.tt/2U6dNd9
via IFTTT
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger