'Bangun mak, buka mata mak...' - Anak-anak menangis pilu melihat ibu mereka yang nazak disebabkan Covid-19

shamsulazlan | 18:24 | 0 comments


"Hari ini, 24 Mei jam 4.45 pagi tadi, ibu mertua kesayangan saya telah kembali ke rahmatullah. Meninggal dunia di Hospital Shah Alam. 


"Arwah meninggal dunia disebabkan Covid-19. Tiga minggu dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) sebab sesak nafas dan perlukan bantuan oksigen," demikian perkongsian yang tersebar meluas di media sosial sejak semalam. 


Video viral berdurasi 1 minit 37 saat itu menunjukkan anak-anak bersama dengan pasangan dan keluarga masing-masing menangis kesedihan melihat si ibu yang sedang nazak di ICU sehingga memerlukan bantuan pernafasan. 


Menurut sumber, mangsa dijangkiti virus berbahaya itu dari anak perempuannya yang sebelum itu memperoleh jangkitan dari rakan di tempat kerja. 


"Punca kena Covid-19 adalah kerana kakak ipar dapat (berjangkit) melalui kawan di office dia. Kakak ipar jumpa mak mertua saya, cium tangan dan berborak rapat-rapat. Bila kakak ipar pergi buat swab test, positif. Bawa mak mertua buat test, terus positif. Boleh bertahan tiga minggu sahaja, selepas itu meninggal dunia. 


"Doktor suruh buat video call terakhir semalam dengan anak-anak," kata sumber. 


Di media sosial, rata-rata netizen meluahkan rasa sedih dan terkesan dengan video tersebut yang membuatkan mereka terkenang akan ibu bapa masing-masing. Ada juga yang mengatakan, jika sebelum ini mereka menolak untuk menerima suntikan vaksin, kini telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin kerana tidak mahu kejadian yang sama berlaku pada keluarga masing-masing. 


"Berapa ramai yang kehilangan mak, ayah, datuk dan nenek disebabkan kecuaian anak dan cucu balik kampung. Memang niat kita balik untuk menjenguk tetapi kalau ini natijahnya berbakul-bakul rasa menyesal sebab darah daging sendiri menjadi penyebab kematian. Allahu, salam takziah buat keluarga mangsa," kata Izzah. 


"Cepat-cepatlah kita daftarkan parents untuk vaksin ini nanti. Kalau berdegil tak nak, ambil masa untuk cuti dan hantar juga. Pastikan mereka dilindungi," kata Farah. 


"Saya seorang yang tidak mahu divaksin dan saya juga melarang ibu dan ayah saya divaksin. Tetapi setelah menonton videdo ini, saya dah daftarkan diri dan kedua ibu bapa saya untuk divaksin. Ini sangat-sangat menginsafkan. Saya yakin bukan saya seorang saja yang begitu, orang lain mungkin juga mengambil tindakan yang sama. Takziah buat keluarga mangsa," kata Nadia. 


Sementara itu, salah seorang menantu mangsa tampil meminta jasa baik warga maya untuk berhenti menyebabkan video tersebut.


"Saya mewakili keluarga memohon jasa baik warga maya yang mengikuti kisah ini untuk mendoakan ibu mertua saya agar rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dalam golongan ahli syurga.


"Sesungguhnya video ini amatt menyentuh perasaan, tetapi ianya amat memedihkan pada kami. Saya dengan rendah diri memohon agar ianya tidak lagi diviralkan seterusnya. Cukuplah setakat ini. Mohon maaf sekali lagi," kata Azinie Ahmad.


Sumber: Facebook



from The Reporter https://ift.tt/3fOivoe
via IFTTT

(Video) 2 tren LRT dipercayai berhenti secara mengejut, ramai penumpang mengalami kecederaan

shamsulazlan | 08:24 | 0 comments


Viral di media sosial beberapa gambar dan video kemalangan yang membabitkan dua buah tren yang dalam perjalanan antara Kampung Baru dan KLCC, hari ini. 


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu yang berlaku pada jam 9 malam dan sedang melakukan siasatan. 


"Berdasarkan maklumat awal, dua tren berkenaan tidak berlanggar tetapi berhenti secara mengejut. Kejadian itu menyebabkan penumpang terjatuh dan mengalami kecederaan," katanya memetik laporan dari Harian Metro. 


Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad mengesahkan, perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) bernombor 40 dan 81 mengalami kemalangan di Laluan Kelana Jaya.


Kerja-kerja membantu dan menyelamatkan mangsa sedang dilakukan dan Prasarana meminta semua pihak bertenang dan mematuhi semua arahan yang diberikan. 


"Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan serta mengawal keadaan," katanya. 










Sumber: Harian Metro, Info Roadblock JPJ/POLIS



from The Reporter https://ift.tt/3wvwXba
via IFTTT

(Video) 'Lagi baik lockdown suruh semua orang duduk rumah, Otak udang korang!' - Terlupa pakai mask, lelaki provok Inspektor Wahed yang kenakan kompaun RM1,500 terhadapnya

shamsulazlan | 00:24 | 0 comments


Viral di media sosial video seorang lelaki membuat provokasi terhadap pegawai polis yang mengenakan kompaun terhadapnya atas kesalahan tidak memakai pelitup muka di tempat awam. 


Lelaki itu memberikan alasan bahawa dia terlupa kerana bergegas menguruskan pengebumian ahli keluarganya. Malah dia meminta agar pegawai berkenaan memberi muka dan tidak mengenakan kompaun terhadapnya. 


Namun, alasannya itu tidak dapat diterima berikutan Malaysia telah berdepan dengan pandemik Covid-19 ini sejak tahun 2020 dan adalah tidak masuk akal memberikan alasan terlupa kerana pemakaian pelitup muka di tempat awam adalah wajib mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan. 


Bengang usahanya untuk merayu menemui kegagalan, lelaki itu mula memprovokasi pegawai itu termasuk menghinanya dengan gelaran otak udang. 


"Encik, orang minta tolong encik. Tak, saya bukan (buat) jenayah. Saya cuma tak pakai mask, saya sendiri mengaku. Saya sudah lupa. Besok saya punya abang 16 hari sembahyang arwah. Saya tengah rushing ni. 


"Encik terus tekan saya macam ni, encik takkan lupa ka apa-apa? (Encik tak pernah terlupa ke). Encik sendiri kena faham sendirilah. Betul tak betul encik? Tuan Wahed, betul tak betul Tuan Wahed?


"Adakah apa-apa kenyataan saya salah ka encik? Saya saja nak tahu ni, saya sendiri mengaku saya terlupa pakai mask. Takkan tuan tak nak bagi muka sikit ni? Orang dah lupa tau? Takkanlah encik macam ni? 


"It just a normal crime, I forgot to wear my mask. Inspektor Wahed, you can understand my situation or not? Thanks a lot Mr Wahed. 


"Satu mask encik tahu ka berapa harga? Satu mask boleh tahan untuk tiga jam sahaja. You tau ka encik? Satu hari satu family berapa banyak kena pakai mask, you tahu ka? Lagi baik you orang taruk lockdown, jangan panggil orang keluar rumah. 


"You orang (polis) terus tangkap orang tak pakai mask. Satu hari satu rumah mesti keluar RM15 (untuk beli mask). Kalau sekiranya tiga orang dekat rumah, satu keluarga satu hari kena keluarkan RM15. You tahu ke tak tahu encik? You orang ada duit, boleh (beli). Kalau orang tak ada duit, macam mana? Satu hari sudah 15 ringgit, 10 hari sudah 150 ringgit. 30 hari, 450 ringgit. Sia-sia je buang. Lagi baik lockdown, suruh semua orang duduk rumah sudah. Otak udang korang," katanya. 



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin mengambil maklum mengenai video viral itu. 


Lelaki berusia 30-an terbabit telah dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dan tidak mencatatkan rekod butiran diri ketika masuk ke sebuah premis ketika membeli minuman keras di sebuah pasar mini di Kampung Muhibbah, petang kelmarin. 


"Lelaki berkenaan didapati memasuki pasar minit terbabit untuk membeli minuman keras tanpa mengimbas kod QR MySejahtera atau mencatat butiran diri selain tidak memakai pelitup muka menyebabkan dia ditegur oleh pegawai polis yang sedang melakukan rondaan pemantauan. 


"Dia kemudian memberi pelbagai alasan kepada inspektor berkenaan sambil merakam reaksi atau tindakan pegawai polis itu. 


"Tindakannya yang bersifat provokasi itu langsung tidak dipedulikan inspektor berkenaan yang juga Ketua Polis Balai Sungai Siput," katanya. 


Mohd Khaizam berkata, tiada tindakan lanjut yang akan dikenakan terhadap lelaki itu yang menyebarkan video tersebut kerana dia menganggap perbuatan seperti itu adalah sesuatu yang bagus kerana secara tidak langsung menunjukkan kepada orang ramai bahawa polis mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran SOP selepas ini. Malah, lelaki itu dengan jelas mengakui kesalahan dirinya yang tidak memakai pelitup muka. 


Dalam pada itu juga, pemilik premis tersebut dikenakan kompaun RM1,500 kerana gagal memastikan lelaki terbabit mematuhi SOP yang ditetapkan. Pemilik premis akur dengan kompaun yang dikenakan dan memberikan kerjasama yang baik dengan Inspektor Wahed. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/3ugJG03
via IFTTT

Kompaun RM50,000 terhadap peniaga burger, colek & kedai runcit dikurangkan kepada RM2,000

shamsulazlan | 23:24 | 0 comments


25 April 2021, tiga peniaga di Kelantan dikenakan kompaun RM50,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di mana mereka beroperasi melebihi had masa ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 


Tiga peniaga terbabit ialah, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, peniaga burger; Mohd Azizi Mohd Nor, 42, peniaga colek dan Mansah Marjurin, 47, peniaga kedai runcit. 


Bagaimanapun semalam, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri (UIPN) telah menerima kes tersebut dan mengurangkan kompaun terhadap tiga peniaga terbabit. 


Peniaga burger, dikenakan kompaun RM2,000 mengikut garis panduan. Kompaun tersebut tidak boleh dikurangkan kerana peniaga itu telah melakukan kesalahan buat kali kedua. 


Peniaga colek dan kedai runcit juga dikenakan kadar kompaun yang sama, RM2,000, tetapi boleh mendapat pengurangan 50 peratus (RM1,000) jika mereka membayar kompaun tersebut dalam tempoh tujuh hari. Kompaun itu juga akan dikurangkan kepada 50 peratus (RM500) jika terdiri daripada golongan B40. 


Sementara itu, Mohd Azizi memanjatkan rasa bersyukur kerana rayuan untuk pengurangan kompaun tersebut diterima oleh pihak berkenaan dan akan mengemukakan segala dokumen yang diperlukan kepada Pejabat Kesihatan untuk melayakkannya membayar kompaun RM500 tersebut. 


"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu selama ini. Saya akan menyelesaikan kompaun ini dalam masa tujuh hari," katanya. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/3fbb7Ee
via IFTTT

'Ciuman Abi & Ummi yang terakhir untuk anak kesayangan Khaleel Islam' - Bayi 14 bulan maut terjatuh dari katil di rumah pengasuh

shamsulazlan | 22:25 | 0 comments


Seorang bayi lelaki berusia 14 bulan terjatuh dari katil ketika berada di rumah pengasuhnya sehingga menyebabkan mangsa mengalami pendarahan dan retak tulang kepala, Sabtu, 22 Mei 2021. 


Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa sebelum itu dihantar oleh bapanya ke rumah pengasuh berusia 24 tahun berkenaan di Paka pada jam 10.15 pagi.


Bagaimanapun, bapa mangsa kemudian menerima panggilan daripada isterinya yang memaklumkan anak mereka mengalami kecederaan di rumah pengasuh dan terus bergegas ke rumah pengasuh.


Sebaik tiba pada jam 10.30 pagi, lelaki berusia 30 tahun itu mendapati anaknya dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri lalu membawanya ke Klinik Kesihatan Paka. 


Mangsa diberi bantuan alat pernafasan yang kemudian mengarahkan mangsa dibawa ke Hospital Dungun dan dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada jam 5 petang. 


Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kecederaan fizikal, namun imbasan CT Scan mendapati mangsa mengalami pendarahan di ubun kepala dan keretakan di bahagian belakang tulang kepala. 


Suspek memaklumkan mangsa terjatuh secara terlentang dari katil dengan kepalanya terhendak di lantai ketika bermain. 


23 Mei 2021, Ahad malam, mangsa dilaporkan meninggal dunia. Mangsa menghembuskan nafas terakhir di ICU Kanak-Kanak pada jam 10 malam. 


Suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat. 


Sementara itu bapa mangsa, Mohamad Ehafizuddin, turut berkongsi berita duka itu dengan kenalannya di Facebook.



"Inilah ciuman abi dan ummi yang terakhir untuk anak kesayangan abi, Khaleel Islam. Sudilah sedekahkan bacaan Al-Fatihah untuk anak ku Khaleel Islam bin Mohamad Ehafizuddin yang sudah kembali ke rahmatullah. 


"Sesungguhnya adik Khaleel ini penghuni syurga. Yang pasti akan berbakti kepada orang tuanya kelak. Adik panggillah abi dan ummi nanti di pintu syurga. Abi dan ummi akan tunggu panggilan adik. 


"Terima kasih Allah pinjamkan rezeki yang tidak ternilai ini selama 1 tahun 2 bulan 29 hari. Abi dan ummi serta kakak Dhuha sangat gembira dengan kehadiran adik. Kami pasti akan rindu dengan semua gelagat adik. Besar ujian ini dik, tapi abi dan ummi redho pemergian adik dan yakin dedngan qadar dan qada' Allah. 


"Rehatlah adik. Buat sahabatku, mohon doakan kami kuat menghadapi dugaan besar ini," tulisnya. 



Sumber: Harian Metro, FB Mohamad Ehafizuddin



from The Reporter https://ift.tt/2RG2Or0
via IFTTT

'Virus tidak bergerak, yang bergerak adalah manusia' - KKM rayu rakyat terus kekal duduk di rumah selama 2 minggu untuk tangani wabak Covid-19

shamsulazlan | 22:25 | 0 comments


Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan tempoh dua minggu ini bagi melaksanakan beberapa kesiapsiagaan dalam membendung penularan wabak Covid-19 dalam negara.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara kesiapsiagaan itu ialah ‘stockpilling’ (penyimpanan stok) peralatan dan ubat-ubatan selain melihat susun atur untuk meningkatkan lagi keperluan wad dan unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19.


Justeru, beliau merayu kepada rakyat Malaysia untuk membantu KKM dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri dan keluarga untuk tempoh dua minggu ini agar dapat memutuskan rantaian jangkitan wabak itu dan hospital dapat menampung lebih banyak pesakit yang kian meningkat.


“Jangkitan yang meningkat sekarang adalah kes yang terdedah kepada aktiviti dalam tempoh dua minggu. Kita belum melihat aktiviti selepas Aidilfitri.


“Sebelum Aidilfitri ada pendedahan terhadap virus itu sama ada melalui aktiviti pergerakan mahupun perhimpunan di kompleks beli-belah dan tempat awam,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai perkembangan PKP di Putrajaya hari ini.


Beliau berkata beberapa tindakan telah diambil oleh KKM bagi menangani peningkatan kes Covid-19 mutakhir ini, antaranya mengenal pasti kemudahan sementara untuk menempatkan pesakit-pesakit kritikal.


Pada ketika ini, penggunaan katil ICU di seluruh negara telah mencapai 91 peratus manakala di Lembah Klang sahaja adalah 113 peratus.


Dr Noor Hisham berkata KKM telah mengenal pasti ruang tertentu seperti wad pemerhatian rawatan harian untuk diubah suai menjadi ICU dan menambah ICU medan di Hospital Kepala Batas kepada 27 katil.


KKM juga telah meminta hospital swasta untuk menambah katil ICU kepada 124 katil berbanding 104 sebelum ini selain turut menggunakan Ordinan Darurat Seksyen 3 iaitu mengambil alih hospital baru yang belum digunakan seperti Hospital Cyberjaya dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk merawat pesakit Covid-19.


Selain itu, Dr Noor Hisham berkata strategi lain termasuk mewujudkan Pusat Kawalan Bersepadu yang bertanggungjawab untuk melihat kesepaduan penggunaan katil ICU, menangguhkan pembedahan elektif dan merujuk pembedahan bukan kes Covid-19 kepada hospital swasta.


Jelasnya, KKM juga menggunakan kaedah penyumberluaran iaitu merujuk kes bukan Covid-19 kepada hospital swasta dan pengambilalihan kemudahan awam untuk dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).


Bagaimanapun, Dr Noor Hisham menegaskan pertambahan katil dan ICU bukan penyelesaian mutlak untuk menangani penularan wabak itu sebaliknya menegaskan hanya tindakan kesihatan awam mampu melandaikan keluk jangkitan Covid-19.


“Virus tidak bergerak, yang bergerak ialah manusia. Jadi terus duduk di rumah, bantu kami. Virus akan menjangkiti dan akan membiak di dalam paru-paru sehingga ada mutasi jika pembiakan yang banyak,” tegasnya.


Sumber: Bernama



from The Reporter https://ift.tt/2QIJn06
via IFTTT

'Jangan jatuhkan standard kami orang Johor dengan guna ikan kembong (dalam resepi laksa Johor)' - Wanita padam akaun FB selepas muat naik komen sakitkan hati netizen

shamsulazlan | 22:24 | 0 comments


Perkongsian resepi masakan di media sosial sepatutnya dimanfaatkan kerana ada yang sudi berkongsi resepi untuk membahagiakan perut masing-masing. 


Tetapi ada pula individu memilih untuk memuat naik komen yang bukan-bukan dengan sengaja menyakitkan hati orang lain, lebih-lebih lagi apabila si polan membabitkan kenegerian. 


Menurut sumber, pada awalnya seorang suri rumah berkongsi resepi cara membuat laksa Johor di sebuah Facebook Group perkongsian masakan. Ramai netizen yang memberikan komen positif dan tertarik dengan resepi Laksa Johor yang unik tersebut. 


Namun, air yang tenang jangan disangkakan tiada buaya. Datang seorang wanita terus memuat naik komen berikut:


"Kalau tak ada ikan parang, guna ikan tenggiri. Jangan jatuhkan standard kami orang Johor dengan menggunakan ikan kembong atau selayang. Itu standard orang utara atau pantai timur".



Kata-kata wanita berkenaan membuatkan netizen terkejut. Malah ramai yang bengang dengan kata-katanya di mana netizen mendakwa wanita itu seperti mengutuk masyarakat di pantai timur dan utara menggunakan ikan murah dalam resepi tersebut. 


"Rata-rata bengang dengan akak tu, bukan geng laksa utara saja bengang, tapi geng laksa Terrenganu, geng laksa Kelantan, malah geng JDT sendiri pun bengang dengan akak itu. 


"Cuma geng Laksa Sarawak jer tak masuk campur sangat sebab diorang malas nak kecoh pasal laksa," kata sumber.


Semakan terkini mendapati, individu berkenaan telah menyahaktifkan akaun Facebooknya yang dipercayai mungkin terkesan dengan kecaman netizen. 



from The Reporter https://ift.tt/3bCRcMk
via IFTTT
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Shamsul Azlan - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger