Kos hidup yang semakin meningkat dan ditambah pula dengan kos pendidikan anak-anak yang tinggi, ibu bapa berusaha keras untuk melengkapkan segala-galanya. Jika dulu hanya si suami sahaja yang membanting tulang mencari rezeki, tetapi kini kedua-dua tugasan itu ditanggung bersama isteri.
Segala-gala benda yang dihajati tercapai apabila kedua-duanya bekerja. Itu juga apa yang terlintas di fikiran pemuda ini. Tetapi,rupa-rupanya rezekinya bertambah murah apabila isterinya membuat keputusan untuk berhenti kerja.
DAH 4 tahun isteri saya menghabiskan duit suaminya. Dulu, isteri seorang wanita yang bekerjaya, ada pendapatan tetap. Gaji bersihnya hampir RM 3,000 setiap bulan. Hidup mewah bila suami isteri dua-dua bekerja. Dari anak seorang, sehinggalah lahir yang ketiga.
Selesa, tak rasa langsung sesak tengah bulan. Bila isteri ada pendapatan, maka apa yang ada dalam fikiran saya? Kalau duit saya tak cukup, saya boleh minta kat dia, then hadirlah nafsu untuk tukar handphone, tukar sport rim, modified kereta dan sebagainya.
Tak tanya isteri dah, terus buat keputusan sendiri. Balik rumah dengan handphone baru, sport rim baru. Isteri berleterlah kejap, pastu dia cool. Bulan yang spend duit untuk beli macam-macam tu mesti bajet lari, maka minta duit isteri. Isteri bagi jugalah, tapi siap dengan pakej berleter.
Bila pengasuh tiba-tiba tak boleh jaga anak ketiga yang masih baby tu, isteri ambil cuti untuk jaga sementara nak cari pengasuh baru. Kami duduk berbincang, bersembang dari hati ke hati. Saya tak bersedia lagi untuk dia berhenti sebab komitmen bulanan tu masih sama, plan atas gaji dua orang. Tapi bila difikirkan tentang anak-anak, maka isteri kata keputusan yang terbaik adalah berhenti kerja, duduk rumah, uruskan anak-anak sebab anak-anak dah nak start sekolah.
Apa perkara pertama yang terlintas di fikiran saya? Cukupkah gaji seorang saja ni?
Alhamdulillah, tahun ni dah tahun keempat isteri menjadi suri rumah sepenuh masa tanpa sebarang punca pendapatan. Komitmen masih sama, hutang masih sama dan ditambah pula dengan yuran sekolah untuk setiap anak. Sepanjang 4 tahun dia menghabiskan duit suaminya, duit suaminya tak pernah habis.
Ajaibkan aturan Allah. Semuanya suami beli, semuanya suami sediakan, semuanya suami bagi, tapi rezeki suami makin murah, makin mencurah-curah. Tiap-tiap tahun gaji asyik naik sahaja. Bonus suami pun banyak.
Rupa-rupanya, tak miskin si suami yang tanggung isteri sepenuhnya. Tak susah si suami yang memudahkan urusan isteri dan tak berkira dengan isteri. Sepanjang 4 tahun ni juga, Allah berikan kesihatan yang cukup-cukup baik kepada saya. Jarang sakit untuk keluar mencari rezeki untuk keluarga.
Setiap urusan itu rasa mudah dan setiap kali bekerja itu hati rasa tenang walaupun gaji dihabiskan untuk keluarga, tapi ianya tak menyebabkan diri rasa serabut dan duit tak cukup.
Setiap bulan sentiasa cukup. Allah s.w.t tak pernah kedekut dan kejam pada hamba-Nya yang menjalankan tanggungjawab serta kewajipan yang diamanahkan kepadanya untuk ditunaikan.
Sumber: Firdaus Shakirin
from The Reporter https://ift.tt/2vhRMNa
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment